Wednesday, June 10, 2009

Betapa Kau Mencintaiku



Oleh Kak Anis
gentabiru@yahoo.com



Elizabeth Barrett Browning (1806-61), penyair wanita Inggeris pernah mengungkapkan sebuah puisi – Betapakah aku mencintaimu, izinkan daku menghitung caranya...- Sebuah puisi yang saya temui ketika berada di bangku sekolah. Puisi 14 baris itu masih bergema dalam ingatan lantaran kesyahduan cintanya demi Yang Maha Pencipta.
Saya teringatkan puisi Elizabeth Barrett Browning dengan tujuan sedikit berbeza. Mungkin puisi yang berlegar dalam kepala ialah: Betapakah dikau mencintaku, izinkan daku menghitung caranya.
Keluarga, teman dan sahabat yang berada di sekeliling memberi pengertian pada kehidupan saya. Apatah lagi dengan bertandangnya April tahun ini, segala kasih segala sayang dan segala cinta anda terhimpun di depan mata dan saya terkedu dengan kasih sayang yang anda limpahkan kepada saya selama ini. Masya-Allah, terima kasih.
Arwah Mak Anjang melayan saya seperti tuan puteri – sarapan dihidang di dulang, malamnya teh panas dengan kuih di bawah tudung saji sebelum ke tingkat atas berehat. Saya hanya anak kecil – 8, 9 tahun – tapi layanannya amat istimewa. Sepupu saya HA memahami jiwa musafir saya lantas tidak menentang pemergian ke Brunei, malah menghantar secekak borang permohonan kemasukan universiti setelah saya beroleh keputusan cemerlang di pengajian tingkatan enam. Saya langsung tidak terlintas di hati untuk ke universiti kerana usia yang sudah lanjut. HA membuka pintu untuk saya ke horizon lain.

Anak kampung yang meninggalkan kampung ini menjadi terpinga-pinga apabila berada di tengah kota metropolitan. Kesempitan hidup sebagai mahasitua mengetuk minda supaya memuhasabah diri. Apakah lagi potensi yang ada pada diri? Lantas dengan bertawakal kepada Allah, memberanikan diri ke Amir Enterprise. Arwah Pak Harun menyambut kunjungan saya dengan tangan dan dada terbuka. Langsung saya diberi tanggungjawab di majalah Keluarga. Imbuhannya cukup lumayan dan syarat kerja pun tidak mengganggu jadual kuliah dan tutorial. Saya cuma perlu ke pejabat pada hari Sabtu.
Lalu saya berjumpa dengan JA yang saya kagumi kecekapan kewartawanannya.
“Buat apa tu, Kak Anis?” JA menegur saya yang sedang khusyuk menulis secara manual.
“Buat berita.”
“Jangan tulis macam tu.”
“Hah?”
“Terus taip. Jangan buang masa. Kerja mesti pintar.”
“Terus taip?”
“Ya, terus taip.”
Dari satu aspek JA mengajar saya supaya tidak membuang masa dan kertas dan tenaga. Saya mula belajar termenung depan mesin taip sebelum memulunnya dengan berita dan kisah.
Dunia akademik begitu mencabar. Lagi banyak ilmu dipelajari, lagi banyak ilmu pula yang patut diselongkari. Peluang belajar ke luar negeri tiba tanpa disangka, namun saya tidak mahu lepas peluang. Anak pengawas mergastua ini sedar bahawa dia tidak punya ongkos untuk membiayai pembelajaran secara sendirian. Maka itu tawaran kerajaan wajar diambil peduli. Malangnya tempoh pendaftaran sudah tiga minggu berlalu dan saya dinasihatkan pergi tahun depannya. Dengan faktor usia yang meningkat, pemergian tidak dapat ditangguhkan, lalu mendesak untuk pergi juga pada tahun itu.
Encik S tetap berwajah tenang apabila saya (maaf, Encik S) mengetuk meja dan lantang menyuarakan kemahuan saya mahu berangkat pada semester itu juga. Cuma pintanya, uruskan bekalan pemergian saya sendiri.
Pagi itu ketawa Kak AM mengapung di udara.
“Kenapa monyok ni, Anis?”
Maka terluahlah segala yang memberatkan kepala dan kudrat. Bekas mahasitua ini tak punya kenderaan, tak punya lesen memandu, dan tak punya pengetahuan jalan berliku mengunjungi beberapa pejabat kerajaan untuk menguruskan beberapa hal seperti cek biasiswa buku, cek biasiswa pakaian, dan menempah tiket penerbangan.
Kak AM meneliti senarai pejabat yang wajib saya pergi pada pagi itu. Saya masih monyok.
“Ok, Anis. Hari ini Kak AM jadi drebar Anis.”
Kak AM mengajar saya membantu orang kesusahan secara spontan. Betapa mata dan hati saya basah setiap kali peristiwa ini hidup di ruang ingatan. Kak AM membuka pintu bagi saya mendaki anak tangga ke sfera pelbagai hikmah.
Dan April tahun ini, izinkan saya menghitung cara dikau mengasihi saya. Anakanda ZI sering mengingatkan, “Kalau nak ke mana-mana, beritahu. Bonda tidak sepatutnya memandu sekarang. Bonda layak duduk di sisi dan orang lain yang memandu.” Saya boleh memandu (ampunkan aku Ya Allah, aku bukan berniat riak) tetapi ZI mahu saya rehat.
“Bonda, ada terima undangan ke XYZ?”
“Ada.”
“Mahu pergi jam berapa?”
Dan ZI yang akan muncul di depan rumah, mengambil saya pergi ke tempat undangan – Kuala Lumpur, Johor Baharu, Kota Tinggi, Melaka, Bentong, Tanjung Malim, Kota Bharu.
Apabila berjalan berdua, ZI sering menghulur tangannya membantu saya melintas jalan atau menyeberangi parit. Sering ZI mengingati saya tentang keselamatan di jalan raya dan keselamatan memandu. “Guna kawalan jauh membuka pintu kereta apabila sudah dekat dengan kereta.”
Anakanda NS juga akan selalu mengingatkan saya mengunci pintu kereta apabila berada dalam kereta. Anakanda ZI mengusul supaya saya buat pemeriksaan doktor dan usul ini disokong anakanda NS yang terus mencarikan seorang doktor wanita untuk urusan saya. Selama ini saya takut berjumpa doktor (ini fobia dari kecil).
Dan Ya Allah, kasih sayang-Mu begitu agung kepadaku. Kau lanjutkan pinjaman deria lihat, deria dengar, deria sentuh, deria rasa, dan deria bau. Aku masih dapat menatap al-Quran dan telingaku masih dapat mendengar suaraku membaca kalimah suci-Mu. Mindaku masih dapat mengutip hikmah bagi membentuk akhlak dan moralku. Sungguhpun pada sendi dan saraf terdapat kelonggaran dan kehilangan satu dua skru di sana sini, namun lidahku masih mampu berzikir mengingati-Mu. Kasih sayang-Mu memberi keluarga, teman dan sahabat yang berhati mulia menuntun aku seboleh-bolehnya menjadi hamba-Mu mengikut acuan sifat-Mu.
Terima Kasih Ya Rabb memberi aku sahabat yang mengingatkan aku ke jalan-Mu, mengingatkan aku akan tanggungjawabku kerana-Mu, mengingatkan aku hidup dan matiku kerana-Mu.
Betapa kau (Kau) mencintaiku, izinkan daku menghitung caranya...

Artikel Majalah Anis April 2009

No comments: