Wednesday, June 10, 2009

Betapa Kau Mencintaiku



Oleh Kak Anis
gentabiru@yahoo.com



Elizabeth Barrett Browning (1806-61), penyair wanita Inggeris pernah mengungkapkan sebuah puisi – Betapakah aku mencintaimu, izinkan daku menghitung caranya...- Sebuah puisi yang saya temui ketika berada di bangku sekolah. Puisi 14 baris itu masih bergema dalam ingatan lantaran kesyahduan cintanya demi Yang Maha Pencipta.
Saya teringatkan puisi Elizabeth Barrett Browning dengan tujuan sedikit berbeza. Mungkin puisi yang berlegar dalam kepala ialah: Betapakah dikau mencintaku, izinkan daku menghitung caranya.
Keluarga, teman dan sahabat yang berada di sekeliling memberi pengertian pada kehidupan saya. Apatah lagi dengan bertandangnya April tahun ini, segala kasih segala sayang dan segala cinta anda terhimpun di depan mata dan saya terkedu dengan kasih sayang yang anda limpahkan kepada saya selama ini. Masya-Allah, terima kasih.
Arwah Mak Anjang melayan saya seperti tuan puteri – sarapan dihidang di dulang, malamnya teh panas dengan kuih di bawah tudung saji sebelum ke tingkat atas berehat. Saya hanya anak kecil – 8, 9 tahun – tapi layanannya amat istimewa. Sepupu saya HA memahami jiwa musafir saya lantas tidak menentang pemergian ke Brunei, malah menghantar secekak borang permohonan kemasukan universiti setelah saya beroleh keputusan cemerlang di pengajian tingkatan enam. Saya langsung tidak terlintas di hati untuk ke universiti kerana usia yang sudah lanjut. HA membuka pintu untuk saya ke horizon lain.

Anak kampung yang meninggalkan kampung ini menjadi terpinga-pinga apabila berada di tengah kota metropolitan. Kesempitan hidup sebagai mahasitua mengetuk minda supaya memuhasabah diri. Apakah lagi potensi yang ada pada diri? Lantas dengan bertawakal kepada Allah, memberanikan diri ke Amir Enterprise. Arwah Pak Harun menyambut kunjungan saya dengan tangan dan dada terbuka. Langsung saya diberi tanggungjawab di majalah Keluarga. Imbuhannya cukup lumayan dan syarat kerja pun tidak mengganggu jadual kuliah dan tutorial. Saya cuma perlu ke pejabat pada hari Sabtu.
Lalu saya berjumpa dengan JA yang saya kagumi kecekapan kewartawanannya.
“Buat apa tu, Kak Anis?” JA menegur saya yang sedang khusyuk menulis secara manual.
“Buat berita.”
“Jangan tulis macam tu.”
“Hah?”
“Terus taip. Jangan buang masa. Kerja mesti pintar.”
“Terus taip?”
“Ya, terus taip.”
Dari satu aspek JA mengajar saya supaya tidak membuang masa dan kertas dan tenaga. Saya mula belajar termenung depan mesin taip sebelum memulunnya dengan berita dan kisah.
Dunia akademik begitu mencabar. Lagi banyak ilmu dipelajari, lagi banyak ilmu pula yang patut diselongkari. Peluang belajar ke luar negeri tiba tanpa disangka, namun saya tidak mahu lepas peluang. Anak pengawas mergastua ini sedar bahawa dia tidak punya ongkos untuk membiayai pembelajaran secara sendirian. Maka itu tawaran kerajaan wajar diambil peduli. Malangnya tempoh pendaftaran sudah tiga minggu berlalu dan saya dinasihatkan pergi tahun depannya. Dengan faktor usia yang meningkat, pemergian tidak dapat ditangguhkan, lalu mendesak untuk pergi juga pada tahun itu.
Encik S tetap berwajah tenang apabila saya (maaf, Encik S) mengetuk meja dan lantang menyuarakan kemahuan saya mahu berangkat pada semester itu juga. Cuma pintanya, uruskan bekalan pemergian saya sendiri.
Pagi itu ketawa Kak AM mengapung di udara.
“Kenapa monyok ni, Anis?”
Maka terluahlah segala yang memberatkan kepala dan kudrat. Bekas mahasitua ini tak punya kenderaan, tak punya lesen memandu, dan tak punya pengetahuan jalan berliku mengunjungi beberapa pejabat kerajaan untuk menguruskan beberapa hal seperti cek biasiswa buku, cek biasiswa pakaian, dan menempah tiket penerbangan.
Kak AM meneliti senarai pejabat yang wajib saya pergi pada pagi itu. Saya masih monyok.
“Ok, Anis. Hari ini Kak AM jadi drebar Anis.”
Kak AM mengajar saya membantu orang kesusahan secara spontan. Betapa mata dan hati saya basah setiap kali peristiwa ini hidup di ruang ingatan. Kak AM membuka pintu bagi saya mendaki anak tangga ke sfera pelbagai hikmah.
Dan April tahun ini, izinkan saya menghitung cara dikau mengasihi saya. Anakanda ZI sering mengingatkan, “Kalau nak ke mana-mana, beritahu. Bonda tidak sepatutnya memandu sekarang. Bonda layak duduk di sisi dan orang lain yang memandu.” Saya boleh memandu (ampunkan aku Ya Allah, aku bukan berniat riak) tetapi ZI mahu saya rehat.
“Bonda, ada terima undangan ke XYZ?”
“Ada.”
“Mahu pergi jam berapa?”
Dan ZI yang akan muncul di depan rumah, mengambil saya pergi ke tempat undangan – Kuala Lumpur, Johor Baharu, Kota Tinggi, Melaka, Bentong, Tanjung Malim, Kota Bharu.
Apabila berjalan berdua, ZI sering menghulur tangannya membantu saya melintas jalan atau menyeberangi parit. Sering ZI mengingati saya tentang keselamatan di jalan raya dan keselamatan memandu. “Guna kawalan jauh membuka pintu kereta apabila sudah dekat dengan kereta.”
Anakanda NS juga akan selalu mengingatkan saya mengunci pintu kereta apabila berada dalam kereta. Anakanda ZI mengusul supaya saya buat pemeriksaan doktor dan usul ini disokong anakanda NS yang terus mencarikan seorang doktor wanita untuk urusan saya. Selama ini saya takut berjumpa doktor (ini fobia dari kecil).
Dan Ya Allah, kasih sayang-Mu begitu agung kepadaku. Kau lanjutkan pinjaman deria lihat, deria dengar, deria sentuh, deria rasa, dan deria bau. Aku masih dapat menatap al-Quran dan telingaku masih dapat mendengar suaraku membaca kalimah suci-Mu. Mindaku masih dapat mengutip hikmah bagi membentuk akhlak dan moralku. Sungguhpun pada sendi dan saraf terdapat kelonggaran dan kehilangan satu dua skru di sana sini, namun lidahku masih mampu berzikir mengingati-Mu. Kasih sayang-Mu memberi keluarga, teman dan sahabat yang berhati mulia menuntun aku seboleh-bolehnya menjadi hamba-Mu mengikut acuan sifat-Mu.
Terima Kasih Ya Rabb memberi aku sahabat yang mengingatkan aku ke jalan-Mu, mengingatkan aku akan tanggungjawabku kerana-Mu, mengingatkan aku hidup dan matiku kerana-Mu.
Betapa kau (Kau) mencintaiku, izinkan daku menghitung caranya...

Artikel Majalah Anis April 2009

Cintakan Kebenaran - Ada Pahit Untuk Ditelan



Ketika saya memulakan kerjaya di Institusi Pengajian Tinggi, saya dipanggil ke pejabat Naib Canselor. Pagi yang murni itu menyaksikan saya menerima amanah dari tokoh yang tidak asing dalam bidang akademik.
“Saya mahu awak membimbing pelajar-pelajar yang berfikir.”
Amanah dari Profesor Ungku Aziz menjadi landasan pelaksanaan subjek Falsafah yang saya kendalikan. Penggal/semester yang berikutnya, kelas kuliah dan tutorial saya menjadi gelanggang pelajar menguji teori, hipotesis, pandangan, saranan dalam beberapa wilayah falsafah seperti etika, estetika, ketuhanan dan politik.
Perdebatan dan perbincangan dilakukan secara rasional dengan mengemukakan bukti dan fakta. Prejudis dan ego ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun, ada ketikanya ego dan prejudis sempat menyelinap ke dalam hujahan; dan pada ketika itu saya perlu bertindak bijaksana. Seboleh-bolehnya pelajar dan saya mengelakkan luahan emosi yang boleh mencalarkan perpaduan antara kaum dan agama.
Pada awal penggal/semester pelajar agak malu-malu dan segan berkata-kata. Mereka tunduk dan cuba mengelak dari pandangan saya. Mereka bercakap pun kerana terpaksa. Dengan dorongan dan galakan, alhamdulillah, pelajar yang diam seperti batu pun teruja untuk menyuarakan pendapat, dan berani menyanggah pendirian teman sekuliahnya. Dengan penggal/semester yang hampir tamat, suasana kuliah dan tutorial senantiasa hangat dan bergelora. Kuliah dan tutorial tidak punya waktu yang cukup untuk menampung semangat pelajar yang mahu bersuara.
Sungguhpun saya tidak lagi mengendalikan subjek Falsafah, namun sesi mencanai fikiran ini tetap saya lakukan. Pada kali ini, kalau tidak dalam Logik dan Pemikiran Kritis, maka saya akan manfaatkannya dalam subjek Penulisan dan Komunikasi Saintifik. Isu yang dijadikan topik perbincangan dan perbahasan tertakluk kepada isu yang panas diperkatakan dalam ehwal semasa.

Fenomena Menggoncang Naluri
Pada bulan Mac timbul isu PPSMI (Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris). Isu ini saya bawa masuk ke dalam kelas. Bila lagikah mahasiswa boleh memikirkan (berfikir dahulu dan berfikir itupun dilakukan di dalam kelas dengan pengawasan pensyarah) fenomena yang menggoncang naluri masyarakatnya?
Pelajar kuliah Logik dan Pemikiran Kritis dibahagi kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan dianggotai lebih dari satu bangsa. Tiga kumpulan diarah menyokong bahawa Sains dan Matematik wajar diajar dalam Bahasa Inggeris, dan tiga kumpulan diarah menyokong bahawa Sains dan Matematik patut diajar dalam Bahasa Melayu.
Terdapat pelajar yang mahu bertukar kumpulan kerana tidak selesa dengan isu yang patut disokongnya.
Saya mengingatkan mereka, “Anda ialah orang akademik. Berfikirlah secara orang akademik. Gunakan fakta. Gunakan bukti. Buang prejudis. Berfikir secara kritis. Yang kita mahu ialah pencerahan tentang isu ini. Anda harus telus dengan hujahan anda.”
Seminggu sahaja yang saya berikan tempoh untuk mereka berdiskusi sesama sendiri dan menyiapkan kertas kerja untuk pembentangannya di dalam kelas. Matlamat saya, antara lain, ialah memantau pemikiran kritis pelajar, meninjau keyakinan diri mereka ketika menyampaikan hujahan, dan mengawal kestabilan emosi mereka (sekiranya mereka dibuai emosi).
Tujuh hari yang saya berikan untuk persiapan mereka amat berhasil. Mungkin semangat setiakawan, tolong-menolong, dan bertolak ansur yang mereka amalkan di dalam kumpulan masing-masing membuahkan hasil dalam masa yang amat singkat itu.
Kesemua enam kumpulan mengemukakan premis yang meyakinkan. Sejarah – sejarah tanah air dan sejarah dunia – diselongkari untuk memantapkan hujahan. Falsafah pendidikan dikupas dan diberi penilaian. Semangat patriotisme diberi definisi dan dilebarkan huraian. Kasih sayang ditinjau ketahanannya meredah sains dan teknologi penuh cabaran.
Sekali-sekala saya mengingatkan mereka, “Kita mencari kebenaran. Kebenaran itu bersandar pada fakta dan logika. Kita tidak mencari kemenangan. Kemenangan itu berkait dengan manipulasi bahasa yang menghanyutkan kualiti pathos.” Maksudnya: Jangan memainkan perasaan pendengar/rakan untuk mendapatkan sokongan mereka. Sokongan sebegini rupa dipengaruhi emosi – kasihan, simpati, rasa bersalah. Dan emosi sering menyamarkan hal yang mantap dan nyata.

Merungkai Kebenaran
Alhamdulillah, semua enam kumpulan membuat pembentangan yang cemerlang. Mereka dapat mengemudi perasaan dengan baik. Mereka berjaya menyusun premis yang kukuh. Dan aliran pemikiran mereka suci, bersih, tenang, telus. Setiap kumpulan mengemukakan wakil yang bijak mengawal keadaan. Rakan-rakan lain membahagi tugas – mengendalikan peralatan powerpoint, menyediakan risalah, membantu menjawab pertanyaan ketika sesi Q&A.
Mereka berjaya dalam tugasan spontan ini kerana mereka cintakan kebenaran. Kasih dan sayang mereka terhadap ilmu menuntut mereka berfikiran waras dan sistematis. Cinta tulus mereka terhadap tanah air menundukkan prejudis dan ego. Yang mereka cari ialah kebenaran; dan kebenaran itu, ada ketikanya, pahit untuk ditelan.
Apakah kebenaran yang pahit untuk ditelan? Mungkin boleh saya catatkan beberapa premis untuk kita renungkan bersama.
Setelah 51 tahun merdeka, kita masih berada di tahap bangsa pengguna. Bangsa lain mencipta teknologi dan kita mengguna teknologi ciptaan mereka.
Untuk menjadi pencipta, kita mesti kuasai sains dan teknologi. Pada masa ini kita berada pada zaman teknologi yang jauh terkedepan. Kita ketinggalan dalam lingkungan sains dan teknologi yang bahasanya dikuasai bahasa asing.
Terjemahan buku tidak dapat menyelesaikan masalah. Sebuah buku diterjemahkan mungkin memakan masa yang lama. Pada masa itu berpuluh-puluh buku lain diterbitkan tentang ilmu Sains dan teknologi baru kerana Sains dan Matematik ialah ilmu yang dinamis. Kita akan keciciran.
Mahu menjadi bangsa pencipta, kita harus menguasai ilmu Sains, Matematik dan teknologi. Ilmu pada kita harus setanding dengan sains dan teknologi mutakhir. Kita mungkin boleh pergi lebih jauh. Pada ketika itu kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain dalam Sains, Matematik, dan teknologi. Bahasa Melayu sudah boleh menjadi bahasa ilmu Sains dan Matematik.
Sementara itu Bahasa Melayu akan pupus? Oh tidak mungkin. Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa pengantar untuk subjek lain seperti Sejarah, Geografi, dan Sastera. Ehwal pentadbiran boleh dilaksanakan dalam Bahasa Melayu.
Sambil itu fikir-fikirkanlah mengapa Islam dan bahasa Arab mencapai kegemilangan sebelum abad ke-15? Sikap cintakan ilmu, mengutamakan sains, menobatkan ilmu perubatan dan memantapkan Ilmu Hisab melahirkan ilmuan dan ahli sains Islam berbahasa Arab.
Premis-premis ini merumuskan bahawa jika kita sayang bangsa dan negara kita, maka pastikan bahawa bangsa kita berilmu agar tidak diperkotak-katikkan oleh bangsa lain. Allah SWT berfirman dalam surah al-Zumar ayat 9: “Katakanlah – tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan.”


Artikel Majalah Anis Mei 2009














Friday, August 1, 2008

Selamat Datang Ke Blog Kak Anis

Bermulanya Blog Kak Anis


Kak Anis bergambar dengan editor dan wartawan Majalah ANIS.


Kak Anis bersungguh-sunggguh nak buat blog sendiri.



Alhamdulillah... kini Kak Anis dah boleh masukkan buku-buku karangan kak Anis dalam blog.